Sejujurnya saya terkejut membaca isu ini tadi. Bukan saya terkejut dengan kenyataan Menteri KPDNKK tu tapi saya sangat terkejut bila membaca komen-komen orang ramai berhubung isu ini. Rupa-rupanya masih ramai yang tidak tahu hakikat sebenar logo 'No Pork' yang digantung di premis-premis makanan seluruh Malaysia.
![]() |
Isu 'No Pork No Lard' dan 'Pork Free' di Malaysia |
Ini bermakna, ramai Muslim di Malaysia bukan sahaja keliru malah ada yang sudah tertipu dengan tanda 'No Pork' atau 'Pork Free' itu. Mereka sangka premis makanan itu memang menjual makanan halal dan mereka makan di premis makanan tersebut dengan gembiranya. Sedangkan, tanda 'No Pork'dan 'Pork Free' itu bukanlah tanda premis makanan itu menjual makanan halal sepenuhnya.
Mari kita baca kenyataan akhbar Menteri KPDNKK berkaitan isu ini.
Logo ‘No Pork’ Bukan Jaminan Makanan Halal - KPDNKK
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan melihat kembali kesesuaian tanda “no pork” (tiada babi) dan “pork free” (bebas babi) yang dipamerkan premis makanan bagi mengelakkan kekeliruan kalangan umat Islam.
Justeru, Menterinya Datuk Hamzah Zainuddin menasihatkan pengguna Islam untuk lebih berhati-hati dengan premis makanan yang mempamerkan papan tanda atau pelekat sedemikian kerana ia tidak menjamin makanan dihidangkan adalah halal.
"Bagi pengguna Islam mereka perlu tahu kedai ada logo halal atau tidak.
![]() |
Datuk Hamzah Zainuddin - KPDNKK |
"Kalau (premis) pamerkan tanda 'pork free' dan tidak ada logo halal, janganlah masuk, sebab mereka buat tanda itu mungkin untuk kaum lain yang tidak makan khinzir" katanya.
Bagi premis yang mempamerkan logo atau sijil halal, tetapi ada produk tidak halal, Hamzah menegaskan, tindakan akan diambil terhadap peniaga.
Mengulas lanjut Hamzah berkata, definisi khusus memperjelaskan maksud “pork free” juga perlu bagi memastikan istilah itu tidak mengelirukan pengguna yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
"Saya arahkan pegawai melihat kembali isu 'no pork' supaya tiada muslihat pemilik premis makanan daripada segi tanda yang dipamerkan," katanya.
Semalam, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osmab menyarankan kerajaan mewajibkan pengusaha premis makanan mempamerkan sijil halal bagi mengelakkan pengguna Islam daripada terkeliru dan tidak terpedaya dengan label ‘no pork’.
Sumber berita : http://klxpress.com.my/bahasa-melayu/19-semasa/11412-logo-no-pork-bukan-jaminan-makanan-halal-kpdnkk.html
Ini pula kenyataan daripada Ketua Pengarah JAKIM berhubung isu sama
Isu 'Pork Free' @ 'No Pork' - Datuk Othman Mustapha
Pihak JAKIM amat menyedari tentang isu yang sedang menjadi polemik pada masa kini iaitu berkaitan dengan pernyataan 'Pork Free' atau 'No Pork'yang digunakan oleh segelintir pengusaha premis makanan dan pemilik restoran yang tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Mungkin pengusaha premis makanan atau pemilik restoran berkenaan mempunyai tujuan dan niat tersendiri, namun pernyataan sebegini pada hakikatnya boleh mengundang kekeliruan di kalangan para pengguna terutamanya Umat Islam di negara ini.
Justeru, saya menasihati semua para pengguna agar bijak dan peka dalam memilih makanan atau hidangan yang ingin dinikmati di mana-mana premis makanan dan restoran. Logo Halal Malaysia adalah panduan yang terbaik bagi semua para pengguna kerana produk yang ada logo Halal Malaysia sememangnya terjamin halal dan bersih (halalan tayyiban).
Permohonan Pensijilan Halal Malaysia telah dipermudahkan dengan sistem e-halal bagi menggalakkan pengusaha memohon Pensijilan Halal Malaysia. Di samping itu, pengguna juga lebih mudah membuat semakan status halal melalui Direktori Halal Malaysia di www.halal.gov.my atau melalui aplikasi mobile myJakim di peranti android dan iOS.
Pihak Jakim juga sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Agama Islam Negeri dan pihak KPDNKK bagi memastikan kepentingan masyarakat Islam sentiasa terjamin khususnya dalam mendapatkan makanan dan produk yang Halal. Ianya juga bagi mengelakkan pengguna Muslim terkeliru dan sebagai usaha untuk meningkatkan keyakinan pengguna terhadap Pensijilan Halal Malaysia. Jakim juga akan bergerak seiring dengan apa saja ketetapan yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Negeri dan pihak KPDNKK dalam menangani isu ini.
Sekian.
OTHMAN MUSTAPHA
16 Februari 2016
![]() |
Logo Rasmi Halal Malaysia |
Pilih Yang Halalan Thoyyibban
Saya harap dengan penjelasan ini, rakyat Malaysia yang beragama Islam akan lebih peka dan sensitif semasa memilih tempat untuk menjamu selera. Hakikatnya, memilih yang halal itu adalah kewajipan kita sendiri. Jangan kerana restaurant tu popular dan ramai orang Melayu makan di situ, kita pun turut sama makan di situ tanpa membuat semakan status halal terlebih dahulu.
Biasakan diri memilih tempat makanan yang Halalan Thoyyiban iaitu bukan sahaja makanan itu mesti halal, tapi pembuatnya juga Muslim, penghidangnya juga Muslim dan paling penting bahan-bahan masakan dan cara masakan juga mengikut landasan Islam. Barulah kita yakin dengan apa yang disediakan untuk kita makan. Dalam erti kata mudahnya, pilihkan premis makanan Muslim..!
Kita tak boleh nak salahkan orang lain, sebaliknya kita mesti ambil tanggungjawab tu sendiri. Sama-samalah kita saling ingat-mengingatkan antara kita yang mana baik dan yang mana buruk. InsyaAllah.
Premis Makananan Popular Tidak Dapat Pengiktirafan Halal
Jangan tak tahu ya, banyak premis makanan popular di Malaysia ni sebenarnya tak ada status Halal yang sah dan dikemaskini. Ada yang ambil sijil Halal tapi dah tamat tempoh dan tak pernah perbaharui, ada pula yang ambil sijil Halal bagi sesetengah menu hidangan sahaja dan selebihnya tidak berstatus halal tetapi dijual secara bersama (tidak diasingkan yang halal dengan yang haram). Mohon hati-hati..!
Banyak juga premis yang berstatus Halal di sesetangah cawangan (outlet) sahaja. Contohnya Kedai Makan A di cawangan Bangi ada status Halal, tapi Kedai Makan A yang sama tapi di cawangan Sepang tidak mempunyai status Halal. Jangan kata ini mengarut atau mustahil. Hakikatnya perkara ini memang berlaku di Malaysia yang tercinta ini.
Semak sendiri status Halal premis makanan kegemaran anda di
Masa buat semakan tu perhatikan tarikh tamat tempoh sijil Halal mereka.
Sebarkan untuk ingatan saudara Islam kita yang lain. Sama-sama kita jihad mencari yang halal..!