Sedar tak sedar esok kita bakal menjejakkan kaki ke tahun yang baru iaitu tahun 2016. Terasa masa berjalan dengan sangat pantas dan kenangan yang telah kita kutip sepanjang tahun ini semakin banyak dan memenuhi ruang memori kita dengan sebaiknya. InsyaAllah, semoga tahun yang mendatang kita akan berpeluang menikmati banyak lagi pengalaman baru.
![]() |
Teruskan Usaha Anda Untuk Mengamalkan Gaya Hidup Sihat Pada 2016 |
Bagaimana dengan azam anda pada tahun 2015 ni, azam nak kuruskan badan kan.. dah tercapai ke? Tahniah kepada yang telah berjaya dan semoga kalian dapat mengekalkan berat badan ideal dan gaya hidup yang sihat. Tapi bagi yang tidak berjaya, jom kita semak mengapa misi anda tidak berjaya.
Mengapa Diet Saya Gagal Lagi
Mari kita sama-sama fikirkan semula apakah masalah atau halangan yang membuatkan usaha menurunkan berat badan kita tahun ini tidak berjaya dilaksanakan. Saya percaya setiap masalah itu ada jalan penyelesaiannya, yang penting kita jangan putus asa dan mesti kreatif....! :)
1. Tiada Masa Nak Bersenam, Asyik Kerja Lebih Masa Sampai Lewat Malam
Mulai tahun hadapan, kita ubah gaya hidup dan elak menjadikan tiada masa sebagai alasan. Kita boleh buat senaman ringkas atau gerakan-gerakan mudah selama 15-20 minit semasa membuat kerja di pejabat atau sedang menelefon pelanggan dan sebagainya. Bagi surirumah pula, manfaatkan masa bermain dengan anak-anak atau sambil menonton tv untuk membuat senaman ringkas.
2. Tidak Suka Makan Sayur
Anda boleh cuba menambah pengambilan beras perang di dalam diet harian anda untuk mendapatkan serat makanan yang baik selain boleh juga memilih roti gandum penuh yang ditaburkan kekacang atau bijirin seperti chia seeds, psyllium husk dan banyakkan makan buah-buahan segar.
3. Tidak Suka Minum Air Kosong
Jika anda tidak suka minum air kosong, boleh cuba ambil minuman yang zero kalori tetapi berperisa seperti air perahan lemon, teh hijau, air barli, air kelapa atau fruit infusion yang mana semua minuman ini disediakan TANPA gula. Bagaimanapun jangan pernah abaikan kepentingan air kosong untuk tubuh badan kita.
4. Tidak Boleh Meninggalkan Makanan Kegemaran
Kongsikan snek anda dengan pasangan atau kawan-kawan. Nikmati bahagian snek anda secara sederhana dan amalkan mengunyah makanan secara perlahan-lahan. Lagipun sharing is caring right? Menikmati aiskrim, kek mahupun snek kurang sihat bersama-sama rakan baik pasti lebih menggembirakan.
5. Selera Tinggi Dan Pantang Nampak Makanan
Cuba elakkan aktiviti yang melibatkan makanan dan buat jurnal makanan anda sendiri untuk mencatatkan jumlah kalori makanan harian anda. Apabila anda melihat kalori tinggi yang ada ambil setiap hari, harapnya anda akan lebih berhati-hati dan memikirkan kesannya di masa hadapan.
6. Tiada Makanan Sihat Di Pejabat
Bawa bekal makanan sihat sendiri dari rumah atau boleh cuba buat tempahan atas talian. Masa kini terdapat banyak prkhidmatan penghantaran makanan sihat yang ditawarkan. Jika perlu, anda boleh berpakat dengan rakan-rakan sepejabat untuk mendapatkan perkhidmatan ini. Ia bukan sahaja lebih sihat malah lebih menjimatkan.
Diharapkan tips-tips yang telah diberikan ini dapat membantu anda untuk meneruskan misi menurunkan berat badan anda pada tahun hadapan. Jangan putus asa untuk mengejar impian anda mendapatkan berat badan idaman.
Apa yang penting USAHA dan selalu POSITIF dengan kehidupan anda.
Selamat Maju Jaya dan Selamat Menyambut Tahun Baru 2016...!
:)
Sumber : Majalah RAPI bil.266 (Disember 2016)